Majlis pernikahan Ema dan
Tengku Fateh diadakan di salah sebuah istana persinggahan yang berdekatan
dengan kampung Ema. Majlis mereka hanya dihadiri oleh keluarga dan
sanak-saudara keluarga Ema, kerabat dan sahabat diraja terdekat sahaja. Pihak
media tidak dijemput dan mereka hanya mendapat berita rasmi yang dikeluarkan
daripada bahagian Perhubungan Diraja.
Akad nikah yang dilangsungkan di sebelah pagi itu
diikuti dengan jamuan kecil untuk semua hadirin yang ada. Ema dikelilingi oleh
kakanda-kakanda iparnya dan Iman. Fateh memandang isterinya dari jauh dengan
perasaan bahagia.
Bahunya ditepuk dari belakang, membuatkan Fateh
mengalih pandanganya.
“Dari tadi duk pandang Ema tu. Semua orang perasan
dah. Control sikit perasaan tu.” Sapaan di bahu Fateh diikuti dengan
komen tersebut.
“Tengok je pun, isteri sendiri pula tu,” balas Fateh
bersahaja. Namun, bahunya dipaut dan dibawa menjauhi tempat tersebut oleh
Danish dan mendekati kumpulan rakan-rakan mereka. Fateh tetap menjemput mereka
ke majlis akad nikahnya ini walaupun bukan semua sahabatnya dapat menghadirkan
diri.
Ema pula dikelilingi oleh beberapa sanak-saudaranya
selepas dia sudah bergambar dengan geng ‘Gorgeous Royal Ladies’ tadi. Kebanyakan mereka mengucap tahniah dan betapa
beruntung dirinya dapat bersuamikan putera raja, dapatlah mereka merasa masuk
ke kawasan istana dan bertentang mata degan Raja dan Permaisuri negera mereka!
Ema hanya senyum
sahaja melihat keterujaan mereka semua. Mereka masih lagi teruja, dia pula
masih lagi gementar. Debaran yang dirasainya dalam peralihan menjadi seorang
isteri masih belum hilang. Ema merenung air minuman di tangannya. Dia telah
menjadi seorang isteri. Jika sebelum ini dia hanya berpangkat seorang anak dan
kakak. Sekarang pangkatnya sudah bertambah, seorang isteri. Tanggungjawabnya
juga bertambah.
“Ema, okey tak
ni?” Bahnya ditepuk lembut.
Ema memandang Cik
Puan Airi dengan anggukan.
“Okey, kak. Ema
cuma rasa … a bit loss. Ema tak tahu Ema nak buat apa lepas ni,” balas
Ema perlahan.
Cik Puan Airi
senyum dan mengajak Ema ke arah ruang yang tidak ramai tetamu. Ema ditariknya
untuk duduk di sofa yang tersedia.
“Perlu dua orang
untuk terjadinya satu perkahwinan itu, Ema. Jadi, komunikasi adalah benda
paling penting dalam perkahwinan itu. Kalau Ema rasa loss, akak
cadangkan supaya Ema berbincang dengan Fateh. Jangan pendam seorang diri.”
Ema diam,
mengiyakan kata-kata kakanda ipar di hadapannya itu. Dia patut peduli akan
nasihat-nasihat yang diterimanya kerana dia seperti seorang bayi dalam hal
perkahwinan.
“Akak bukan pakar
perkahwinan. Akak pun rasa emak Ema dah bagi banyak nasihat pada Ema, betul
tak? Cuma Ema jangan lupa. Ema bukan keseorangan dalam keluarga diraja ni. Akak
pun orang luar sebelum jadi ahli kerabat diraja ni. Kalau Ema rasa tak boleh nak consult
Fateh, just come to me. Okey?” ulas Cik Puan Airi.
Ema memandang
wajah wanita itu sesaat dua sebelum senyum dan mengangguk.
“Terima kasih,
akak,” ujar Ema penuh kesyukuran kerana mempunyai biras yang mengambil berat.
“Good. Sekarang,
tarik nafas dan chin up! You can do this!”
Ema tersengih.
Bunyi macam hendak berperang pula.
Klik! Klik! Klik!
Ema berpaling
apabila mendengar bunyi petikan kamera berdekatan. Rupa-rupanya jurukamera
rasmi majlis tersebut sedang merakan gambarnya dengan Cik Puan Airi yang sedang
berbual.
“Cik Puan Airi,
Cik Puan Ema. Boleh pose sikit?” pinta jurukamera bertauliah itu.
Ema terkesima
seketika mendengar panggilan rasmi yang baru itu. Cik Puan Ema? Dia tersenyum
manis. Dia patut mengikut nasihat yang baru diterimanya. Chin up, Ema!
Majlis tamat
menjelang waktu Zohor. Hampir semua tetamu sudah pulang. Ema di bawa oleh Fateh
ke bilik khas untuk mereka di istana persinggahan tersebut untuk berehat,
sebelum mereka pulang ke istana besar bagi persiapan majlis makan malam esok sempena
perkahwinan mereka pula.
“Majlis malam esok
dengan orang-orang besar negara, kan?” tanya Ema, mengambil tempat duduk di
hadapan cermin. Dia ingin membuka tudungnya tapi gaya yang dipakainya itu
adalah hasil tangan kakandanya pagi tadi. Jadi dia tidak tahu hendak mula dari
mana…
Tiba-tiba bahunya
dipegang dan badannya dipusing oleh Fateh. Ema memandang lelaki yang berdiri
setapak di hadapannya itu. Tangan Fateh mula bermain di kepalanya, menarik
pin-pin di tudung yang dipakainya dengan berhati-hati. Ema tersenyum.
“Jangan risau
tentang malam esok. Lagipun, saya rasa awak pun kenal most of them,”
balas Fateh, dengan tangan yang sibuk membuka tudung si isteri.
“Saya kenal mereka
tapi mereka tak kenal saya,” komen Ema.
“Mereka tak perlu
kenal awak pun. Mereka hanya perlu tahu bahawa awak adalah isteri saya,” ujar
Fateh, menyentuh dagu isteri yang baru dinikahinya itu dan merenung mata Ema.
Tudung di kepala gadis itu sudah melurut jatuh ke bawah.
Ema membalas renungan
tersebut seketika sebelum menolak tangan lelaki itu dari dagunya dan berpaling
untuk menjauhkan diri namun lengan kirinya pantas disambar. Walaubagaimanapun,
lingkaran tangan Fateh di lengannya tidak begitu kemas membuatkan dia berupaya
memusingkan lengan dan badannya sementara tangan kanannya ingin menolak badan
lelaki itu.
Fateh terkejut
namun dia lebih pantas mengelak dan menangkap tangan tersebut dengan tangan
kanannya dan memusingkan badan Ema sebelum menarik gadis itu ke dalam
dakapannya. Belakang badan Ema merapat pada hadapan badannya sementara tangan
gadis itu dipegang kemas pada kali ini.
“Cara, nak
bersilat dengan saya ke ni?” bisik Fateh,
memegang kejap kedua-dua tangan isteri yang berada dalam pelukannya itu. Fateh
mengerling pakaian Ema. Nasib baik gadis itu masih memakai jubah pengantin.
Kalau tidak, mahunya kaki Ema turut naik ke badannya.
Ema tidak
membalas. Bukan apa… Reaksinya sebentar tadi adalah tindak balas spontan. Namun
nampaknya, dia tidak dapat menandingi skil lelaki itu. Ema diam. Fateh juga
diam. Masing-masing membiasakan diri dengan pasangan yang baru halal itu.
Betullah orang
kata. Bercinta sepuluh tahun pun, kalau bukan jodoh takkan bersama. Dahulu, dia
pernah bercinta dengan seseorang yang disangka bakal menjadi teman hidupnya.
Namun takdirnya, hubungan mereka hanya bertahan seketika. Mungkin masa itu,
masing-masing dengan darah muda remaja yang mahu mencuba semua benda.
Hakikatnya, dia
dan Fateh sudah lama bertemu dan kenal kerana bersekolah di sekolah yang sama
walaupun dia bukan anak orang berada dan Fateh adalah anakanda diraja. Bukan
darjat yang memisahkan mereka ketika itu, namun takdir menentukan bahawa itu
bukan masa yang terbaik untuk mereka bersama.
Ema tunduk
memandang tangan Fateh yang memegang tangannya itu. Cincin di jari mereka
berdua membuatkan dia tersenyum. Jodoh dan takdir cinta, bukan mereka yang
tentukan tapi Allah SWT. Semoga takdir mereka kali ini berkekalan.
“Jom bersihkan
diri. Nanti kita check mak dan adik-adik okey ke tak sekejap lagi.”
8 komen:
Penantian yang berbaloi.. thank you for update today..
💕
💕
💕
👍
Akhirnya. Bila nak dpt baca bukunya
��
��
Catat Ulasan
Mohon komen entri kali ini. Terima kasih!!! :D