Ema duduk berehat di taman yang terletak di
atas bumbung bangunan hospital itu. Keadaan awan yang seakan-akan memayungi
bangunan tersebut membuatkan keadaan teduh dan damai untuk sesiapa sahaja
bersantai di situ, terutamanya penghuni-penghuni hospital itu. Dia bersandar di
kerusi kayu itu dengan wajahnya dihadap ke langit biru putih. Fikirannya
melayang teringatkan beberapa orang insan yang datang melawatnya beberapa hari
yang lalu, Nada dan Cik Puan Hijratul Khairiyah.
Siapa
sangka dia akan bertemu lagi dengan Puteri Mahkota Zamora itu? Bukan dia yang
pergi menghadap bakal Wanita Pertama negara itu, namun wanita itu sendiri yang
datang melawatnya. Dia terkedu seketika ketika melihat wanita itu berdiri di
pintu masuk bilik sakitnya.
“Awak okeykah, Ema? Kenapa sampai masuk
hospital begini?” Wanita itu mengambil tempat duduk di kerusi sebelah katilnya.
“Errr...
Cik Puan, kita duduk di sofa sanalah, ya?” Ema tidak terus menjawab soalan
wanita itu. Dia serba salah sebenarnya. Kedudukannya di atas katil itu lebih
tinggi daripada kedudukan Cik Puan Airi. Dia berasa seperti tidak beradap pula.
“Awak
boleh jalan ke sana? Kalau awak lebih selesa berada di atas katil ni, it’s okay
with me.”
Ema
senyum dan menggelengkan kepalanya seraya turun daripada katil dan mengiringi
wanita itu ke kawasan sofa. Selepas Cik Puan Airi duduk, dia mengambil tempat
di sofa sebelah wanita itu.
“Macam
mana Cik Puan tahu saya ada di sini?” soal Ema. Hendak kata wanita itu datang
melawat Tengku Syifa’ul Asrar yang telah melahirkan kandungannya, Ema rasa
adinda wanita di hadapannya itu sudah pulang ke kediaman sendiri.
“Sewaktu
saya datang jenguk adinda ipar saya dengan anakanda-anakanda saya tempoh hari,
saya ternampak Fateh keluar daripada bilik ini. Saya hairan juga. Apabila saya tanya
jururawat di sini, rupanya Ema yang berada di bilik ini. Itu yang saya datang
harini. Awak nampak seperti kemalangan sahaja, Ema. Awak tidak apa-apakah
sekarang ini?”
Ema
senyum manis. Dia berasa terharu kerana wanita itu sanggup datang melawatnya.
Wanita itu seperti ikhlas risau tentang keadaan dirinya.
“Alhamdulillah,
saya sudah semakin sembuh, Cik Puan. Beberapa hari lagi saya sudah boleh keluar
daripada hospital ini. Biasalah, Cik Puan. Tugas saya memang merbahaya. Saya
tak pernah menyesal, Cik Puan. Apa yang terjadi, saya anggap ia adalah
pengorbanan saya untuk negara,” jawab Ema secara jujur. Dia tidak perlu
berselindung dengan Cik Puan Airi kerana wanita itu tahu siapa dirinya yang
sebenar.
“Terima
kasih, Ema. Semoga Allah membalas segala yang pengorbanan Ema untuk negara kita
ini.” Cik Puan Airi menggenggam jari-jemarinya yang sudah tidak berbalut itu.
Demi kemakmuran negara, pengorbanan adalah unsur yang paling penting sekali
dalam masyarakat. Tidak kira pangkat ataupun darjat, setiap indivisu harus
mempunyai rasa ingin berkorban untuk negara.
Ema membalas genggaman wanita tersebut
“Kerja
adalah amanah, cik puan. Insya-Allah, saya cuba melakukan apa yang terdaya.
Semoga Allah redha dengan saya.” Ema berasa gembira apabila mendapat
penghargaan daripada wanita tersebut. Bukan penghargaan rasmi yang
ditunggu-tunggu, namun sebaris ucapan itu sudah cukup untuk membuatkan dia
terus bersemangat untuk menjaga kesejahteraan negara mereka itu. Hakikatnya,
pengorbanan bukan sahaja berpaksi kepada harta, namun termasuk juga masa dan
nyawa.
“Insya-Allah. Amin. So, Ema dah lama adinda ipar saya? Ema
tentulah tahu siapa Tengku Fateh Abqari. I mean, secara peribadi?”
Ema terdiam seketika. Skema apakah yang perlu
dia pilih untuk menjawab soalan Cik Puan Airi ini? Wanita itu tentulah hairan
jika ternampak Fateh keluar daripada bilik sakitnya. Tidak ramai insan di
sekelilingnya yang tahu bahawa dia dan Fateh saling berhubung sekarang ini. Dia
risau jawapannya akan menimbulkan rasa tidak enak dalam hati wanita di
hadapannya itu. Setahunya, Cik Puan Airi ini pernah hendak memperkenalkan rakan
seperjuangannya, Amani, dengan Fateh.
“Sebenarnya, dahulu saya satu sekolah dengan
Tengku Fateh, Cik Puan.” Ringkas sahaja jawapan Ema.
“Oh... Jadi, awak memang berhubung dengan dia
sejak dahulu lagi?”
Ema menggeleng dengan senyuman nipis.
“Tak, cik puan. Kami cuma bertemu semula dalam
majlis reunion sekolah kami beberapa bulan yang lalu.”
“Oh... Majlis reunion yang itu. Saya tahu. Saya
tahu.”
Ema menghela nafas panjang. Udara segar itu
dihirup beberapa kali untuk turut menenangkan fikirannya. Kedatangan Cik Puan
Airi melawatnya amat tidak disangka. Namun, dia tidak mahu berfikir
bukan-bukan. Dia berbual dengan biasa sahaja bersama Cik Puan Airi semalam.
Wanita itu hanya ingin tahu keadaan dirinya sahaja. Insya-Allah, dia tidak
perlu runsing apa-apa sebenarnya.
Walaubagaimanapun,
fikirannya membayangkan Fateh secara automatik. Dia tidak tahu jika Fateh tidak
kisah dengan pengetahuan Cik Puan Airi tentang hubungan kawan antara mereka
berdua. Fateh mungkin tidak mahu sesiapa salah faham tentang hubungan mereka
berdua itu.
‘Tapi,
aku kira kawan diakah? Panggilan cariño yang Fateh sebut tempoh hari
itu, bagaimana?’ Terdetik persoalan di benaknya.
Cariño.
Ema tahu maksud perkataan Bahasa Sepanyol itu. Apa yang memeningkannya
adalah gelaran itu disebut secara tiba-tiba oleh Fateh. Apatah lagi, selepas
itu Fateh terus sahaja menamatkan perbualan mereka sehingga hari ini. Bagi
dirinya, cariño adalah satu gelaran yang memberikan perasaan yang lebih
sentimental daripada gelaran ‘sayang’.
“Hisy...
Tak sukalah fikir benda-benda begini. Kalau berterus-terangkan, lagi senang. Ini
tidak, suka buat orang pening dan tertanya-tanya. Benda macam ni boleh
menyerabutkan kepala dan mengganggu prestasi kerja sahaja,” bisik Ema kepada
dirinya sendiri.
Sebagai seorang agen pengintip negara, dia
tidak boleh membiarkan emosi dan perkara-perkara dalam kehidupan peribadinya
mengganggu tugasan kerjanya yang membabitkan nyawanya dan nama negara. Soal
dunia, bolehlah dia cari jalan atau informasi. Soal hati? Hanya Allah sahaja
yang arif. Sekali lagi, Ema menghela nafas panjang.
“Assalamualaikum.
Fikir apa tu?”
Laju
Ema berpaling. Senyuman diukir di bibir apabila memandang insan yang mengambil
tempat duduk di sisinya itu. Panjang umur Amani. Baru sahaja dia berfikir
tentang gadis ini.
“Waalaikumussalam.
Amani... Kau buat apa di sini?”
Sejujurnya, dia tidak tahu Amani akan datang melawatnya. Manalah tahu gadis itu
hanya ternampak dia di sini sahaja ketika datang melawat orang lain sebenarnya.
“Melawat
engkaulah. Satu hospital aku cari, kat sini rupanya.” Amani duduk bersandar di
sebelahnya.
“Kau
okey? Bila boleh keluar hospital?” soal Amani kemudiannya.
“Alhamdulillah.
Doktor aku cakap luka-luka aku sudah okey. Dua atau tiga hari lagi, kalau dia
tengok okey, aku sudah boleh keluar,” jawab Ema dengan senyuman lebar. Penghuni
hospital mana yang tidak gembira apabila disahkan sudah boleh keluar hospital?
Lagi-lagi dia yang sudah berbulan-bulan tidak bertemu dengan emak dan
adik-adiknya. Dewasa mana pun dia, dia tetap rindukan keluarganya.
“Alhamdulillah.
Kita orang bersyukur sangat semasa bos beritahu yang engkau selamat, Ema. Untuk
tugasan lepas ni, bolehlah kita jadi partner lagikan?”
Ema
tersengih. Nampaknya dia terpaksa mengecewakan rakan sejawatannya itu.
“Tentang itu, rasanya aku tak boleh hendak
tunaikan permintaan kau tu.”
“Jadi,
betullah apa yang aku dengar tu, ya? Kau sudah hendak berhenti?” Bulat mata
Amani.
Ema senyum dan mengangguk kecil.
“Lebih kurang macam itulah. Kira aku turun
pangkatlah.”
“Heh. Dengan
pengalaman kau dalam Skuad Alpha, aku rasa kau akan naik pangkat dalam Pasukan
Anti-Pengganas itu.” Amani mengangkat kening kepadanya beberapa kali.
Ema tersengih. Dia hanya ingin mengundur diri
daripada skuad pengintip negara sahaja, tetapi akan terus kekal dalam pasukan
Anti-Pengganas. Naik pangkat atau turun pangkat, dia tidak kisah sebenarnya.
Niat di hatinya, agar pekerjaannya dapat meredakan kebimbangan hati emaknya
sahaja. Dia adalah seorang anggota polis, perkara itu sudah tidak perlu
disembunyikan daripada pengetahuan ahli keluarganya lagi.
“Eh, kau guna telefon baru?”
Soalan Amani membuatkan Ema memandang telefon
tangan yang dipegangnya itu.
“Ha’ah. Telefon aku hilang dalam tugasan tempoh
hari. Aku guna nombor baru juga. Nah, masukkan nombor telefon engkau. Aku masih
belum ingat nombor baru ni.” Ema menghulurkan telefon pemberian Fateh itu
kepada Amani. Amani mencapai dan menggerakkan jari-jemarinya di atas skrin
telefon baru itu.
Tiba-tiba, telefon di tangan Amani itu
berbunyi. Bulat mata Amani memandangnya, membuatkan Ema terkaku seketika.
Kenapa Amani memandangnya begitu?
“Tengku Fateh Abqari?”
Tangan kanannya memegang telefon pada telinga.
Tangan kirinya pula memegang sudu, mengacau teh panas dalam cawan. Bibirnya
membentuk senyuman apabila mendengar jawapan daripada insan di hujung taliannya
itu.
“Nak
saya ambil awak di hospital?” soal Fateh. Alhamdulillah, Ema sudah boleh pulang
ke rumahnya esok. Dia pula tidak sabar hendak bertemu dengan gadis itu untuk
memberikan cenderamata yang dibelinya di Malaysia tempoh hari. Paling utama,
dia turut membeli sesuatu untuk ahli keluarganya. Dia baru sahaja selesai
melawat keluarga kakanda sulungnya di kediaman mereka. Sekarang, dia sedang
menunggu bondanya di balkoni itu sambil minum-minum.
“Tak payahlah.”
“Awak memang tak suka jumpa
saya, kan?” tanya Fateh dengan nada serius, walaupun sebenarnya dia sedang
mengusik gadis itu. Senyuman nakal terukir di bibirnya.
“Bukanlah...”
Perkataan seterusnya tidak masuk
ke telinganya apabila Fateh berasa bahunya dipegang seseorang. Dia berpaling
dan menyuakan senyuman manis kepada bondanya.
“Bonda,”
sapa Fateh.
“I’ll
call you back,” bisik Fateh kepada Ema di telefonnya sebelum memutuskan
talian. Dia bangun menyalami Wanita Pertama Zamora itu. Antara Ema dengan
bondanya, tentulah dia wajib mendahulukan bondanya.
“Bonda
sihat? Ayahanda?” Fateh duduk kembali setelah bondanya melabuhkan diri di
kerusi.
“Alhamdulillah.
Bonda dan ayahanda sihat. Lama bonda tak nampak Ateh. Sibuk sangat ya?”
“Maaf,
bonda. Pulang dari Darwish tempoh hari, jadual Ateh penuh sikit.” Fateh
menyuakan senyuman. Rasa bersalah menjengah dalam hati.
“Oh
ya, Ateh pergi ke Darwish. Semua orang sihat?”
“Alhamdulillah,
bonda. Masa Ateh di sana, semua okey sahaja. Haa... ini Ateh baru balik
daripada Malaysia. Ada buah tangan untuk bonda dan ayahanda.” Fateh
menghulurkan sebuah beg kertas sederhana besar yang berisi cenderamata untuk
ayahanda dan bondanya.
“Oh...
Bonda pun sudah lama tak pergi ke Malaysia.”
“Ateh
pun. Itu yang Ateh beli cenderamata untuk semua orang.” Fateh sengih.
“Terima
kasih. Nanti bonda bagi pada ayahanda. So, Ateh tidur di sinikah malam ini?
Esok tak kerja, kan?”
Fateh
terdiam. Dia sudah mempunyai rancangan lain untuk esok, namun apa salahnya dia menginap
di istana pada malam ini, kan? Boleh juga dia bertemu dengan ayahanda dan kakanda
sulungnya, serta anakanda-anakanda saudaranya. Dia boleh bergerak daripada istana
selepas itu. Senyuman dilemparkan kepada bondanya.
“Sure,
bonda.”
ok...
Sorry. cik penulis tukar panggilan 'cara mia' to 'carino', which mean the same thing but in different language. :D
so.... komen?
4 komen:
tertunggu2 untuk yg seterusnya! XD
Hohoho.. Best nii.. Tak sabar nak baca scene Fateh & Ema berjumpa.. Salam Ramadhan.. Cik Haliban
tak sbrnyeee next entry !!!!
argggg nk lg....
Catat Ulasan
Mohon komen entri kali ini. Terima kasih!!! :D