Dari tempat duduknya di kawasan balkoni kafe di
tingkat dua kelab menunggang kuda itu, dia dapat melihat adik-adik Ema yang
sedang teruja belajar menunggang itu. Dia memperkenalkan salah seorang
jurulatih di situ kepada Mazurah, Syafik dan Majid sebelum dia dan Ema
meninggalkan mereka dan berlalu ke kafe itu. Fateh menoleh kembali kepada gadis
di hadapannya.
Sudah
sejam mereka di situ. Matahari juga sudah mula terik. Memang sengaja dia
memilih tempat duduk di bawah payungan supaya cahaya matahari tidak mengganggu
perbincangan mereka. Mereka berdua sudah berbincang beberapa perkara
termasuklah tentang pertemuan antara ayahanda dan bondanya dengan Ema,
pertemuan rasmi emak Ema dan ayahanda serta bondanya dan protocol-protokol
majlis pertunangan serta majlis pernikahan mereka. Dia ingin menanggung segala
perbelanjaan namun gadis itu pula tidak bersetuju seperti yang sudah dia
jangka.
“Awak
tahukan, tempoh pertunangan kita mungkin bergantung pada tempoh notis saya
berhenti kerja atau lebih lama lagi,” ujar Ema.
Fateh
yang duduk bersandar dan berpeluk tubuh itu mengangguk.
“Saya
faham.”
“Awak
tak kisah?” soal Ema, membuatkan Fateh senyum.
“Bukan
tak kisah tapi saya faham. Saya rasa awak pun tahu saya pernah menjadi ahli skuad khas tentera udarakan? Saya tahu
prosedur-prosedurnya. Awak rela mengorbankan kerja awak ini pun, saya rasa
bersalah sebenarnya,” balas Fateh, mendekatkan badannya ke meja dengan kedua-dua
belah tangannya di atas meja itu supaya dapat berdepan gadis itu dengan lebih
dekat.
“Kenapa rasa bersalah pula?” tanya Ema pula
dengan kerutan di dahi.
“Sebab
saya rasa awak sukakan kerja awak. Tak mudah untuk mengorbankan sesuatu yang
kita suka.”
Ema
senyum. Betul apa yang pemuda itu katakan. Dia sukakan pekerjaannya sekarang.
Bukan juga senang untuk dia membuat keputusan untuk berhenti. Dahulu dia
berhenti menjadi ahli skuad elit Alpha kerana emaknya. Sekarang, dia perlu
berhenti sepenuhnya daripada menjadi pegawai polis kerana pemuda ini. Itu
tandanya, dia lebih menyayangi orang-orang di sekelilingnya daripada
pekerjaannya.
‘Saya
memang sayangkan kerja saya tapi saya lebih sayangkan awak,’ balas hati Ema.
‘Gedik!’ sergah fikiran Ema pula, membantah
kata-kata hati yang mengada-ngada itu. Hati dan fikiran memang selalu akan
tidak bersefahaman.
“Kadang-kadang, mengorbankan sesuatu yang
berharga bukan bermakna kita kehilangan benda,” ujar Ema, tidak langsung
menuturkan kata hatinya tadi. Memang sesekali dia tidak akan menuturkan
kata-kata begitu lelaki itu selagi mereka tiada hubungan yang sah di sisi
agama.
Fateh mengangguk setuju.
“Proprio così , cara mia. (Betul tu, sayang),” balas Fateh dalam bahasa keduanya.
“Awak kena ajar saya bahasa itu,” pinta Ema
tiba-tiba.
Terangkat kening Fateh. Ema hendak belajar
bahasa Itali?
“Awak selalu guna bahasa tu, tapi saya tak
faham,” sambung Ema lagi.
Fateh sengih. Timbul idea untuk mengusik Ema.
“Bahasa tu, bahasa tu. Bahasa apa?” usik Fateh.
“Bahasa asing yang awak gunakan itulah. Bahasa
Itali, kan?”
“Pentingkah untuk faham apa yang saya cakap?” Fateh
tidak menjawab permintaan gadis di hadapannya itu. Dia kembali bersandar pada
kerusinya.
“Memandangkan awak bercakap dengan saya,
tentulah saya hendak tahu apa yang awak cakap,” balas Ema dengan kerutan di
dahinya. Tentu gadis itu pelik dengan soalannya.
“Kenapa awak hendak belajar dengan saya?
Internetkan, ada?” soal Fateh lagi.
“Fine.
Saya boleh belajar sendiri.” Ema memeluk tubuh dan berpaling ke arah gelanggang
kuda semula, seakan-akan ingin melihat adik-adiknya di bawah sana itu.
Fateh menyengih lagi. Gelagat Ema ketika ini
seperti sedang merajuk dengannya pula. Dia suka! Gadis yang selalunya tampak
tegas dan kasar itu ternyata turut mempunyai hati yang lembut.
“Okeylah. Saya boleh ajar awak tetapi dengan
satu syarat.” Fateh mengangkat jari telujuk kanannya. Ema berpaling,
memandangnya dengan penuh hairan.
“Syarat? Tak apalah. Saya rela tak belajar
dengan awak kalau bersyarat-syarat bagai,” sangkal Ema, membuatkan Fateh
ketawa.
“Tapi syarat ini penting untuk awak. Saya tak halang
awak belajar dengan internet tapi belajar begitu takkan sesempurna awak belajar
dengan saya nanti,” ucap Fateh,ingin memujuk gadis itu.
Ema
merenung Fateh dengan penuh keraguan. Herm... Dia tidak termakan dengan
kata-kata pemuda itu, tapi apalah ruginya dia mengikut sahaja kata-kata Fateh.
Lagipun, tidak lama lagi pemuda itu akan menjadi suaminya dengan izin Allah.
Apa sangatlah syarat yang Fateh boleh kenakan kepadanya, kan?
“Apa syaratnya?”
“Awak belum setuju.” Fateh sengih. Dia perasan,
gadis itu belum lagi bersetuju tetapi hendak mengetahui syarat yang ingin
dikenakan olehnya.
“Perjanjian
mana yang awak ikut mengatakan kena setuju dahulu baru boleh tahu syarat?
Normallah kalau saya hendak tahu syarat dulu, baru saya tahu saya boleh setuju
atau tak,” sanggah Ema, masih memeluk tubuhnya.
“Cara, awak atau saya yang hendak
belajar bahasa Itali? Awak. Awak pelajar, saya pengajar. Mestilah kena ikut
cara saya,” balas Fateh sambil mengangkat dan menggerak-gerakkan sebelah
keningnya beberapa kali.
Ema menjeling pemuda di hadapannya itu. Ketika
itu, hujung matanya menangkap kedatangan seseorang. Dia memandang insan yang sedang berjalan ke
arah mereka daripada belakang pemuda itu sebelum memandang Fateh kembali. Ema
tersengih dalam hati kerana Fateh tidak menyedari apa yang bakal berlaku nanti.
Dia berpura-pura tenang dan tidak peduli dengan gelagat Fateh di hadapannya
itu.
“Cara...” Fateh memanggil, namun ada
suara yang menyampuk secara tiba-tiba daripada belakangnya.
“Ateh, fancy meeting you here." Suara
itu diikuti satu tepukan di bahu kiri Fateh.
Fateh terdiam. Dia kenal suara itu. Dia sempat
memandang Ema yang kelihatan tenang dengan senyuman nipis itu sebelum dia
berpaling.
"Achik.” Fateh menyapa kakanda keduanya yang
sedang berdiri itu. Wanita itu memandangnya sebelum mengerling ke arah Ema.
"Siapa ni? Tak nak kenalkan pada
Achik?" Sebelah kening kakandanya itu sudah galak menari-nari. Fateh
menghela nafas. Bertemu dengan kakanda keduanya di sini, kebetulan atau takdir?
“Duduklah, Achik. Achik dengan siapa ni? Mana
anakanda-anakanda saudara Ateh?” Fateh memandang sekeliling mereka sementara
kakandanya itu mengambil tempat duduk di antara dirinya dan Ema itu. Ema
bersalaman dengan kakanda keduanya dengan tenang bersama senyuman manis
“Achik datang jumpa kawan sekejap. Anak-anak
bersukan dengan papa mereka sekejap pagi ni, Achik tak ikut,” jelas wanita itu.
Fateh mengangguk sebelum memperkenalkan Ema
kepada kakandanya itu sebagai kawan-istimewa-setakat-ini. Kedua-dua perempuan
kesayangannya itu saling menyuakan senyuman.
“Ateh, Achik hauslah. Tolong buat pesanan untuk
Achik di kaunter, boleh?” pinta kakandanya membuatkan Fateh diam.
Sebetulnya, mereka hanya boleh memanggil
pelayan kafe itu untuk membuat pesanan, tapi dia tahu bahawa kakandanya ingin
berbual dengan Ema tanpa kehadirannya di situ. Fateh memandang Ema. Gadis itu
hanya senyum dan mengangguk sahaja, membuatkan Fateh yakin bahawa gadis itu
boleh mengendalikan kakandanya itu. Akhirnya, dia mengangguk dan berlalu
meninggalkan Ema dan Tengku Syifa’ul Asrar di situ.
Lima minit kemudian, Fateh berjalan kembali ke
meja mereka bersama segelas jus dan sepiring kuih muih. Dari jauh, rancak
sahaja kakandanya dan Ema berbual-bual. Fateh senyum sendiri. Baguslah jika
Achiknya menerima Ema. Semua ahli keluarganya sudah mengenali Ema. Selepas ini,
hanya tinggal bonda dan ayahandanya sahaja.
“Thank you, Ateh,” ucap kakandanya
selepas jus dan piring kuih diletakkan di hadapan wanita itu. Fateh kembali
duduk di tempatnya.
“Jadi, Ema dan Ateh dah ada perancangan nak jumpa
ayahanda dan bonda?” soal kakandanya.
Fateh berpandangan dengan Ema yang mengangguk
sedikit kepadanya, sebelum dia memandang kakandanya kembali.
“InsyaAllah, minggu hadapan. Bergantung kepada
kelapangan ayahanda dan bonda,” jawab Fateh, menyatakan persetujuan yang
dicapai antaranta dan Ema dalam perbincangan mereka tadi.
“That’s great. Benda baik perlu disegerakan. Ayahanda
dan bonda banyak masa lapang sekarang. Hampir semua tugasan, Along sudah ambil
alih daripada ayahanda. Sekarang ini, mereka tunggu hendak melayan cucu-cucu
sahaja. Anyway, adakah Achik orang terakhir kenal Ema? Angah sudah tahu?”
Fateh menjungkitkan bahu, bukan tidak tahu tapi
tidak mahu menjawab. Soalan Achiknya itu memang menjerat diri. Kalau diangguk,
tentu si ibu muda terasa hati pula. Kalau digeleng, itu tidak betul. Angah
sudah kenal Ema tetapi dia tidak pasti jika Angah mengetahui hubungannya dengan
Ema. Kemungkinan besar Along mereka sudah memberitahu Angah, tapi kemungkinan
juga Along menunggu dia sendiri memaklumkan perkara tersebut kepada Angah.
“Fine. Tak penting pun. Okey, Ema. Achik
akan add awak dalam kumpulan Whatsapp ‘Gorgeous Royal Ladies’.
Nanti kita boleh bergosip-gosip dengan Angah tanpa gangguan orang lain,” ujar
Achik kepada Ema, membuatkan Fateh yang mendengar itu tersenyum kecil.
“Amboi, nama kumpulan memang tak boleh blah...”
komen Fateh.
Achiknya menjeling. Ema senyum.
Ema mematikan
talian telefonnya selepas bercakap dengan si pemanggil hampir setengah jam.
Panas telefon tangannya apabila digunakan selama setengah jam tanpa henti.
Rasanya, dia lebih banyak mendengar dan mengangguk tadi. Sesekali dia bercakap
panjang, menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya.
Ema bangun daripada duduk di tangga
dan masuk ke dalam rumah. Tiga adik-adiknya yang sedang menonton televisyen itu
dihampiri sebelum dia duduk di kerusi berhampiran. Emak mereka masih di dalam
bilik, mengaji selepas solat Isyak barangkali.
“Akak, cakap dengan Abang Fateh ya?”
Mazurah berpaling kepadanya dan bertanya.
Ema mengangguk sahaja.
“Baiknya Abang Fatehkan? Bawa kita
orang menunggang kuda dan semua kos dia yang tanggung. Untungnya dia jadi abang
ipar kita orang,” ujar Mazurah, memuji bakal-abang iparnya.
Ema senyum sahaja. Melangit pula
pujian adik perempuannya kepada Fateh. Kalau Fateh dengar, tentu lelaki itu
sudah sengih lebar.
“Tapi akak, akak tak rasa ke cepat
sangat?” sambung Mazurah lagi tetapi Ema tidak memahami apa yang ingin
disampaikan oleh adiknya.
“Cepat apa?” Berkerut dahi Ema.
Mazurah membetulkan kedudukannya,
menghadap kakaknya dengan betul.
“Iyalah...
Baru hari itu dia bagi cincin risikan pada akak. Baru nak masuk dua minggu,
akak sudah hendak jumpa mak ayah dia. Raja dan permaisuri kot, akak. Akak tak
takutkah?”
Ema
senyum. Betul kata Mazurah sebenarnya. Baru hampir dua minggu emaknya menerima
cincin risikan daripada Fateh dan esok dia akan masuk ke istana bersama emaknya
untuk bertemu dengan keluarga Fateh yang lain. Namun persoalan lama atau
sekejap itu tidak timbul dalam benak fikirannya.
Yang
sekejap itu cuma tempoh tersebut, tetapi
mereka berdua bukan baru dua minggu kenal. Iya... mereka tidak seperti pasangan
lain yang keluar bersama-sama atas nama tiket ‘mengenali hati budi
masing-masing’. Mereka berdua adalah individu yang sibuk dengan kerjaya
masing-masing dan takdir menemukan mereka setiap kali pada masa dan tempat
tertentu. Walaupun pertemuan mereka tidak kerap, namun perasaan yang hadir itu
sudah tetap di hati mereka.
Dia
sendiri memang mula menaruh perasaan terhadap lelaki itu dengan senyap-senyap.
Setiap kali Fateh berbuat baik kepadanya dan keluarganya, dia cuba menidakkan
hatinya dengan alasan Fateh berbuat demikian atas nama ‘kawan’. Namun, dia
tidak menyangka lelaki itu turut sama mempunyai hati terhadapnya. Apabila Fateh
merisik dirinya melalui emak mereka, apakah dia mempunyai alasan lain untuk
menolak?
“Akak
betul-betul sudah kenal Abang Fateh?” soal Mazurah lagi.
Ema
memandang adik perempuannya. Adik-adik lelaki mereka juga sudah mula menoleh
kepada mereka berdua, tertarik dengan topik kali ini.
“Apa
pendapat kau orang tentang dia?” Ema menyoal ketiga-tiga adiknya.
“Abang
Fateh cool,” jawab Syafiq.
“Humble.”
Majid menjawab sepatah.
Ema
memandang Mazurah yang mengambil masa untuk menjawab itu.
“Okey.
Abang Fateh baik hati dan hormat orang biasa macam kita tapi itu sekarang,
akak. Macam mana dengan sejarah dia? Masa lampau dia? Akak tahu?” Mazurah
memandangnya dengan kerutan di dahi.
Ema
senyum dan menggeleng. Adik perempuannya ini terlalu berfikir dengan rumit.
“Hadis
Nabi SAW ada menyebut, ada empat perkara yang harus dipertimbangkan dalam
urusan pernikahan iaitu harta, keturunan, kecantikan dan agama[1].
Yang paling peting antara empat perkara ini, apa?”
“Agama.”
Bergabung suara ketiga-tiga adiknya itu membuatkan Ema mengangguk dan memandang
Mazurah.
“Masa
lampau itu kita tak boleh ubah. Sure, dia tak cerita pada akak sejarah
dia tapi kita kena faham bahawa setiap orang ada their own dark secrets.
Even kau orang pun, kan? Kalau ada benda ini penting dalam satu hubungan
itu dirahsiakan, one day rahsia itu akan pecah juga dan masa itu, apa
yang paling penting dalam satu hubungan itu adalah kepercayaan. Percaya pada pasangan
kita dan percaya pada Allah. Allah itu Maha Adil. Kalau kita ikut sahaja apa
yang Allah suruh, why would He give us despairs? Kecuali untuk menguji
kita. Malah, Allah beri ujian pada kita mengikut apa yang kita mampu.”
Ketiga-tiga
adiknya mengangguk setuju dengan tazkirah pendeknya pada malam itu.
“Jadi,
malam ni poinnya adalah percaya pada dia dan percaya pada Allah,” ucap Ema
mengakhiri perbualan mereka.
[1]
Dari Abu Hurairah dari Nabi
Muhammad SAW bersabda: “Dikahwin perempuan itu kerana empat perkara;
hartanya, kecantikannya, keturunanannya, dan agamanya. Maka pilihlah agamanya,
kerana agamanya yang akan menyelamatkan engkau”. (Hadis Riwayat
Bukhari). Sumber: Drs. H. Muslimin, SKM., M.M.Kes. (2015) Pendidikan Agama
Islam, p.221.
6 komen:
terima kasih...
Terima kasih daun keladi. Akhirnya ada entry jugak...
great...rasa nak tahu lebih lanjut lagi
Jgnlah lama sgt entri seterusnya. Tqvm sy suka.
Wahhh!! Zati suka sangat dengan gaya penulisan Cik Haliban , seronok jerr bila baca.
Dapat ilmu baru. Sgtttt nice
Catat Ulasan
Mohon komen entri kali ini. Terima kasih!!! :D