Intan tersedar daripada
dunia tidurnya. Bersusah payah dia berusaha untuk membuka matanya. Kemudiannya,
dia terkebil-kebil memandang siling bilik itu sebelum menoleh ke sebelah, ingin
melihat insan yang berkongsi katil dengannya. Tiada. Intan bangun daripada
pembaringan. Apabila ditebar pandangannya ke sekeliling bilik pula, matanya
menangkap satu tubuh yang sedang berada di atas sejadah dalam kegelapan bilik
itu. Dia menghela nafas.
Sejak pulang daripada Darwish tempoh hari, dia secara
automatik sahaja berpindah masuk ke dalam bilik Hadif. Mungkin kerana ketika
berada di Pulau Sang Ratu itu, dia akan tidur di dalam bilik pemuda itu kerana
bimbangkan keselamatannya. Hadif pula, jelas tiada masalah untuk berkongsi
bilik dengannya.
“Awakkan isteri saya,” ujar Tengku Iman
Hadif tempoh hari.
Hari ini adalah hari kedua mereka berpuasa. Melewati
bulan mulia Ramadhan ini, mereka akan bersahur di kediaman masing-masing sahaja
manakala berbuka puasa bersama-sama di kediaman ayahanda dan bonda. Intan
menggagau iPhone miliknya untuk melihat waktu. Sudah pukul empat setengah pagi.
Patutlah Hadif sudah berdating dengan Allah, namun Intan tidak berpuas hati.
“Sudah bangun?” suara itu memecahkan kesunyian kamar mereka.
Intan memerhati Hadif bangun daripada sejadahnya dan duduk di birai katil
berdekatan dengannya.
“Awak bercinta dengan Allah, tak ajak saya pun, kan?” soal
Intan, bernada cemburu. Inilah yang dia tidak puas hati tadi. Hadif sepatutnya
turut mengejutkannya apabila pemuda itu bangun tadi. Namun, Hadif hanya ketawa.
Intan memandang lelaki itu tajam. Bahagia sangat nampaknya.
“Sayang, saya baru hendak kejutkan awak. Awak sudah bangun,”
ujar Hadif, dengan sengihan selepas ketawa. Hati mana tidak bahagia apabila
seorang isteri memarahinya kerana tidak mengajak untuk bertahajud. Dia
bersyukur kerana isterinya itu suka untuk bangun bertemu dengan Allah sebegini.
Intan menghela nafas. Mendengar panggilan ‘sayang’ daripada
mulut Hadif memang akan menyejukkan terus hatinya. Haish... Senang sungguh
untuk memujuk hati ini, marah Intan kepada hatinya.
“Awak sudah lama bangun?” soal Intan lagi. Ruginya dia tidak
dapat berjemaah dengan Hadif ketika dia tidur tadi.
“Baru sahaja. Sempat solat empat rakaat sahaja. Haaa...
Bangunlah. Ada setengah jam lagi. Pukul lima kita hendak turun sahur pula.”
Hadif bangun dari katil, dan mencapai al-Quran, ingin menunggu isterinya
bersiap-siap untuk bersolat sunat bersama-sama.
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Puasa
yang lebih utama selepas Ramadhan ialah puasa di dalam bulan Allah yang
dimuliakan iaitu bulan Muharram. Manakala sembahyang sunat yang afdhal selepas
sembahyang fardhu ialah sembahyang sunat di waktu malam (terutama di malam
bulan Ramadhan).” (Hadis
Riwayat Muslim)
Intan lalu turun dari katil dan bergerak ke bilik air tanpa
banyak soal. Makin lama dia bersoal-jawab, makin terbatas pula waktunya untuk
menunaikan solat-solat sunat sebelum mereka turun bersahur. Beruntungnya dia
mendapat seorang suami yang menggalakkan amalan-amalan sunat. Semoga
perkahwinan mereka sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT.
Apabila jam menjangkau pulul lima pagi lebih, mereka berdua
beriringan turun ke ruang makan di tingkat bawah kediaman tersebut. Ketika
melihat dua orang dayang yang masih sedang menghidangkan makanan untuk bersahur
itu, Intan segera menolong.
Hadif pula
memanggil pengawal-pengawal yang sedang berjaga untuk masuk dan bersahur
bersama mereka. Apa salahnya makan dan bersahur bersama-sama dayang dan
pengawal. Mereka juga manusia. Mereka juga hamba Allah, sama sahaja seperti dia
dan isterinya. Jadi, makan bersama mereka tidak akan menjatuhkan maruah dia dan
isteri.
“Tahun-tahun lepas,
awak bersahur dengan siapa?” soal Hadif kepada isterinya, sambil mencapai
lauk-pauk yang masih panas dan enak dimakan di dini hari itu.
“Selalunya dengan
Wati dan Huda, bermalam di kediaman mereka. Kadang-kadang, adinda-adinda yang
lain pun ada sekali,” jawab Intan. Dayang dan pengawal yang makan semeja dengan
mereka pula berbual sesama mereka sendiri.
“Herm... meriahlah
jawabnya.”
Intan tersenyum,
teringat telatah adinda-adinda iparnya ketika bulan puasa pada tahun-tahun yang
lalu, “Kalau ada Alang dengan Diya, makin meriahlah kediaman Huda ataupun Wati.
Kadang-kadang, kami keluar sama-sama pergi bazar Ramadhan. Seronok bersama
adinda-adinda awak.”
Hadif menggeleng
sekali, “Jangan lupa, mereka pun adinda-adinda awak juga. Jadi, mereka adalah
adinda kita. ‘Ours’, no more ‘mine’ or
‘yours’. Okey?”
Intan terpegun
seketika. Ungkapan yang keluar daripada bibir lelaki itu ternyata membuatkan
hatinya bahagia. “Ours...”
“Hari ni, awak ada
apa?” soal Hadif lagi.
“Ada mesyuarat di
yayasan. Saya pergi dengan bonda.” Sejak diumumkan sebagai isteri kepada putera
mahkota, bonda sebagai pemilik Yayasan Hijrah telah melantik dia sebagai
penasihat bagi salah sebuah jabatan di yayasan itu, sesuai dengan jadualnya
sekarang.
“Herm... Saya pun
ada mesyuarat sepanjang hari dengan ayahanda dan pak cik-pak cik menteri tu.
Fuh... Belum mula mesyuarat pun, sudah rasa tekanan.”
Intan tergelak
kecil. Kelakar apabila Hadif menggelar para menteri dengan gelaran pak cik.
Nasib baik tiada makanan di dalam mulutnya. Kalau tidak, pasti tersembur.
“Lah... gelak pula.
Saya serius ni, sayang.”
“Sebab awak buat
kelakar. Kalau pak cik-pak cik tu dengar awak panggil dia orang macam ni, saya
tak boleh hendak agak apa reaksi mereka. Kelakar,” balas Intan, menyambung
ketawa.
Hadif memandang
Intan yang ketawa sopan, tidaklah terlalu kuat sehingga mengganggu dayang dan
pengawal yang sedang bersahur bersama mereka. Cantik sungguh akhlak insan yang
bergelar isterinya itu.
Huda pagi-pagi hari lagi
sudah tiba di kediamannya. Hadif yang sedang menguruskan sesuatu menggunakan
iPadnya itu mengangkat wajah, memandang Huda yang mendekat.
“Huda nak pinjam Intan pagi ni!” bersemangat Huda, sambil
meminta izin daripada Hadif. Hendak bersama-sama Intan, tentulah kena meminta
izin daripada kakandanya itu.
“Tapi Intan cakap, dia ada mesyuarat di yayasan,” balas
Hadif. Huda juga bekerja di Yayasan Hijrah sebagai salah seorang ahli farmasi,
tentu Huda tahu tentanng mesyuarat tersebut.
“Oh. Mesyuarat itu mula pukul sepuluh pagi. Huda hendak
pinjam Intan sebelum tu.”
“Adik nak bawa Intan pergi mana?”
“Ala... Abang janganlah tanya,” rengek Huda, sahaja hendak
bermanja.
“Intan tu isteri abang, adik. Mestilah abang kena tahu.”
“Ala...”
“Kalau tak
beritahu, abang tak benarkan.” Hadif mengusik adindanya, dalam ketegasan. Apa
yang penting, dia perlu tahu ke mana isterinya pergi. Ketika itu, Intan turun
dari tingkat atas kediaman dan menyapa adinda iparnya.
“Intan, abang tak
benarkan awak ikut Huda,” adu Huda kepada Intan. Intan menoleh kepada suaminya,
bertanya dengan pandangan. Hadif menjungkitkan bahu.
“Kalau abang tak
benarkan, takkan abang hendak berkepit dengan Intan. Bulan puasa ni, abang.”
Bulat mata Intan
mendengar kata-kata Huda. Hadif lagilah terkejut.
“Amboi, adik.
Kasarnya bergurau,” tegur Hadif.
Huda
tersengih-sengih. “Gurau sajalah. Sorry.”
“Pergilah. Berahsia sangat dengan abang,” ujar
Hadif seraya kembali menghadap iPadnya. Gaya seperti merajuk.
Huda memandang
Intan. Intan merenung Huda sebelum tersenyum dan menghampiri suaminya, duduk di
sisi lelaki itu untuk.
“Nanti saya call awak, ya. Huda sengaja hendak usik
awak. Sebenarnya, kami takkan keluar dari istana pun,” bisik Intan kepada
Hadif. Hadif memandang isterinya. Intan menyuakan senyuman.
“Yalah. Jaga diri,”
balas Hadif.
Intan mengangguk
sebelum mencapai tangan kanan suaminya, ingin bersalam. Penuh tatatertib Intan
mencium tangan Hadif. Huda memerhati dengan senyuman. Namun, apa yang Huda
tidak pernah nampak adalah Hadif kembali membalas dengan mencium tangan Intan.
Huda segera berpaling dan bergerak ke pintu kediaman. Malu hendak memandang pasangan
itu. Romantik sangat!
Tamat~
Macam mana?
Puas hati tak???
5 komen:
puas..puas...puas.. kehkeh ><
mestilah puas! ^_^ like!
Puas!! ^ ^
Kak Haliban thank you so much penuhi request saya untuk sambungan cerita Intan+Hadif. Aaaah, thank you. Sukanyaa. :)
Alaaa, kan best kalau panjang lagi. Hahah :D apa pon thank you so much Kak Haliban.
Catat Ulasan
Mohon komen entri kali ini. Terima kasih!!! :D