Berkerut dahi Fateh, " Accomodation? Tak payah
susah-susah carilah, cara. Saya ada keahlian hotel di sana."
"Saya tahu, hotel lima bintang kan?" Ema berpaling dengan
kening terangkat.
Apabila Fateh mengangguk, Ema mengangkat jari telunjuknya dan
digoyangkan ke kiri dan kanan beberapa kali.
"Saya tak nak. Mari sini, saya ajar awak bercuti cara orang
biasa."
"Cara, orang biasa pun tidur hotel," balas Fateh
dengan senyuman kecil.
"Orang biasa tapi berada. Cuba tanya emak dan adik-adik saya,
jarang tidur di hotel tau. Biasanya kami tidur di homestay sahaja,"
ujar Ema.
"Homestay? Sewa satu rumah, kan? Lagilah mewah,"
komen Fateh.
"Mewah apanya... Lagi murah. Lagi berbaloi. Ada juga homestay
yang sewa bilik-bilik. Bertambah-tambah murahnya," balas Ema bersemangat.
"So, awak tengah cari homestay ke ni?" soal
Fateh.
Ema mengangguk, "Kita duduk homestay, ya? Pengalaman
baru untuk awak, kan?"
Fateh senyum dan mengangguk. Dia sedar, dengan Ema, dia perlu mula belajar
bagaimana rakyat biasa menjalani kehidupan mereka.
Ema pula senyum lebar. Sebenarnya, dia hanya ingin menguji lelaki
ini. Bolehkah lelaki ini tidak akan menurunkan standard demi dirinya, seperti
yang diucapkan oleh Melissa semalam kepadanya.
Ema bergerak
meninggalkan Fateh apabila lelaki itu mula bercakap tentang hal rasmi dengan
pegawai yang menghampiri mereka. Dia menghampiri meja buffet tidak jauh dari
situ. Terdapat pelbagai jenis pencuci mulut yang tersedia di meja tersebut. Ema
mengambil piring kecil dan mencapai brownies,muffin dan macaron.
Kemudiannya, dia mengambil tempat duduk di meja kecil yang sedikit
tersembunyi. Bukan dia tidak selesa dengan majlis ini, tapi dia ingin
melepaskan sedikit keletihannya. Seperti kata Fateh, walaupun kebanyakan
pegawai yang menghadiri majlis pada malam ini tidak mengenali dirinya tetapi
sebagai seorang bekas pegawai perisik, dia sudah mengetahui kebanyakan tetamu
yang hadir. Jadi, dia tidak begitu gementar apabila berhadapan dengan mereka.
Tiba-tiba, kerusi di hadapannya diduduki oleh seseorang. Ema
mengangkat wajah, melihat gerangan yang mengganggu dirinya tanpa sebarang salam
itu. Terangkat keningnya apabila melihat gadis yang duduk di hadapannya.
Melihat wajah serius Melissa di hadapannya, Ema tersenyum nipis dan bersandar,
menunggu bicara daripada tetamu di hadapannya itu. Walaupun dia atau Fateh
tidak menjemput gadis ini secara personal, gadis ini tentu hadir bersama
seseorang.
“You ingat you sudah menang?” Melissa bertanya sinis. Dia menyilang
kaki dan berpeluk tubuh.
“Saya tak masuk pertandingan apa-apa, Cik Melissa,” balas Ema. Dia
tahu apa yang gadis itu maksudkan, namun dia hendak gadis itu sedar bahawa dia
tidak pernah menganggap sesiapapun sebagai musuh pertandingan dalam hubungannya
dengan Fateh.
Berubah wajah Melissa apabila mendengar kata-kata Ema. Dia memandang
Ema dari atas ke bawah beberapa kali. Dia tidak mahu di mana menariknya
perempuan di hadapannya sehingga keluarga diraja menerima perempuan ini sebagai
ahli keluarga diraja.
“You jangan bangga sangat. Tengku Fateh sudah biasa hidup mewah. Dia
anak raja. Dia mempunyai standard tinggi
dalam semua perkara dalam hidup dia. Dia mungkin ikut kehendak you sebelum
kahwin, tapi dia takkan bertahan lama,” ujar Melissa dengan yakin.
Ema diam seketika. Dia akui, apa yang dikatakan oleh Melissa ada
kebenarannya tapi mungkin bukan sepenuhnya. Lagipun, dia lebih mengenali Fateh
berbanding Melissa. Ema senyum.
“You dah kenal dia berapa lama, Cik Melissa? You memang bekerja satu
syarikat dengan dia. You boleh tengok cara pemakaian dan cara hidup dia semasa
bekerja tapi you tak tahu hidup peribadi dia. You said it yourself, he has a
high standard in everything,” balas Ema dengan tenang. Dia memandang tepat ke
mata Melissa.
“And he chose me as his wife,” sambung Ema pada akhirnya dengan
senyuman.
Giliran Melissa punya untuk terdiam. Melissa menggenggam tangannya
kerana geram.
Ema meletakkan iPad di atas meja dan memalingkan badannya menghadap
si suami. Fateh yang masih memegang mug berisi kopi sambil menonton televisyen
itu turut menoleh.
“Kenapa?” tanya Fateh apabila hairan kerana isterinya hanya diam
sahaja. Dia membawa mug di tangannya ke mulut wanita itu. Senyuman terukir
apabila si isteri membuka mulut dan menghirup sedikit minuman tersebut.
“Hurm… kopi apa ni?” tanya Ema bersahaja.
“Kona Coffee,” jawab Fateh pendek.
Terangkat kening Ema. Dia pernah dengar tetapi tidak pernah merasa
kopi ini. Kopi jenis premium ini hanya di tanam di Hawai, Amerika Syarikat
sahaja. Betullah kata Melissa bahawa Fateh sudah biasa hidup dengan standard
yang tinggi.
“Sedap,” komen Ema dengan senyuman.
“Lagi sedap sebab awak kongsi saya punya,” balas Fateh, mengusap
pipi dan bibir Ema. Mug di tangannya diletakkan di atas meja.
“Ada orang beritahu saya, awak ada high standard in everything.”
Ema memandang wajah suaminya.
“Which is why saya pilih awak, cara.”
Ema tergelak. Jawapan Fateh sama dengan jawapan yang diberikan
kepada Melissa semalam. Walaupun itu adalah jawapannya kepada Melissa, hatinya
tetap berbunga apabila mendengar ucapan itu daripada mulut suaminya sendiri.
“Awak okey sahaja untuk majlis belah kampung saya esok?” tanya Ema.
Majlis belah pengantin perempuan akan diadakan di balai raya kampungnya. Mereka
menjemput orang-orang kampung serta kenalan-kenalannya daripada pelbagai
organisasi.
“Kita dah bincang lama dah benda ni, cara. Saya tak ada
masalah pun.”
Ema mengangguk. Memang benar semuanya sudah diatur mengikut
persetujuan mereka berdua. Sebetulnya, dia bukannya sangat terpengaruh dengan
kata-kata Melissa. Dia adalah seorang yang sangat berkeyakinan tinggi. Dia
tidak akan menyesal dengan setiap Langkah dan setiap keputusan yang dibuatnya.
“Saya teruja sebenarnya ni, nak balik rumah ke kampung awak hari ni,”
ujar Fateh. Dia kembali bersandar.
“Teruja apanya? Bukannya awak tak pernah pergi rumah saya.” Ema juga
bersandar ke kerusi. Bahunya didekatkan dengan bahu si suami.
“Tapi saya tak pernah bermalam di rumah mak,” jawab Fateh. Itulah
yang dia teruja. Kali ini barulah dia boleh mengetahui keadaan seluruh rumah
dan yang paling penting, bilik si isteri.
“Jangan mengadu bila kena gigit nyamuk,” Ema memberi amaran.
“Saya takkan bagi nyamuk gigit saya. Kalau awak, saya izikan,” balas
Fateh.
Membesar mata Ema apabila Fateh tiba-tiba mengusiknya begitu. Fateh
mengenyitkan matanya sebelum ketawa nakal.